Wednesday, December 31, 2008

Restoran masakan tulin Malaysia semakin popular di New York

SELEPAS berjaya mengusahakan sebuah restoran masakan Jepun di sini, seorang pengusaha dari Melaka, Malaysia kini sedang mencipta nama melalui restoran Malaysia yang dinamakan "Laut" yang dibuka pada Mei, tahun ini dengan hidangan masakan tulin Malaysia.
Bekas cef sushi, Michael Bong, 52 tahun, bersama-sama isterinya Kathy, yang secara bersama telah membuka restoran bernama "Miso" di sini, yang mengikut tinjauan yang diperolehi dari orang ramai dan media tempatan, kini turut popular melalui restoran "Laut."
"Sejak membuka restoran itu pada Mei 2008, perniagaan kami semakin meningkat. Kami menerima pelanggan ulangan. Restoran kami mendapat publisiti dalam media tempatan," kata Bong dalam satu temubual dengan Bernama di restoran berkeluasan 2,000 kaki persegi yang terletak di 17th Street, antara Broadway dan Fifth Avenue.
Bong berkata pihaknya menerima kunjungan pelanggan lama yang mengunjungi restoran Jepunnya serta pelanggan baru ke restoran baru yang terdiri dari masyarakat berasal dari Asia dan Amerika Syarikat sendiri yang berminat dengan masakan berempah.
"Kami bernasib baik kerana rakyat Amerika, yang bersikap terbuka terhadap masakan baru, membantu kami mencapai kejayaan," katanya.
Barisan panjang pelanggan yang berbaris untuk memasuki restoran itu semasa musim sejuk New York membuktikan kepopularan restoran dan masakan Malaysia.
Kebelakangan ini, walau pun banyak restoran mengalami perniagaan yang perlahan disebabkan kemelesetan dan peningkatan pemberhentian pekerja, restoran Bong pula mengalami keadaan sebaliknya.
Bong mendakwa restorannya mengekalkan 100 peratus masakan selera Malaysia, walau pun banyak restoran Malaysia yang lain di luar negara cuba menyesuaikan dengan cita rasa tempatan.
"Saya sentiasa mahu menyediakan masakan unik berempah yang melambangkan kepelbagaian masakan rakyat Malaysia," katanya sambil menunjukkan kebanggaan nasionalnya.
Katanya rakyat Amerika boleh menerima masakan eksotik berempah dan ini sekaligus baik bagi masakan Malaysia. "Rakyat Amerika biasanya bersedia mencuba dan berminat mencuba pelbagai makanan," kata isteri Bong, Kathy, yang menurutnya, menguruskan perniagaannya.
Restoran itu turut menghidangkan masakan tulin Thai.
Bong berkata pelanggannya telah menyatakan bahawa mereka gembiran dengan kualiti makanan kami. Antara masakan yang diminat oleh pelanggan di sini ialah kari dan sambal Malaysia dan makanan laut.
Tukang masak yang bekerja di restoran itu merupakan rakyat Malaysia dan Thai yang sudah sedia ada di sini, yang sekaligus mengurangkan masa menunggu dan mahal.
Berbeza dengan rakyat Malaysia dan Thai yang biasanya meminum minuman air kosong atau minuman dalam botol atau minuman ringan, rakyat Amerika biasanya memesan wain beserta dengan makanan Malaysia dan Thai.
Pada siang hari, "Laut" menarik pelanggan yang bertugas di bangunan pejabat di sekitar manakala pada sebelah malam, ia banyak dikunjungi golongan muda mudi.
Keduadua suami isteri itu yang masih memegang pasport Malaysia berasal dari Melaka, yang terkenal dengan perdagangan rempah.
Kedua-dua anak perempuan mereka yang berumur 27 dan 24 tahun, tinggal di Malaysia. Anaknya yang tua bertugas dalam bidang perniagaan pameran manakala anak yang kedua belajar dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Kedua-dua suami isteri Bong tiba di New York pada 1988. Bong bertugas sebagai pembantu di sebuah restoran di Brooklyn manakala Kathy bekerja sebagai pelayan, dari sebuah restoran ke sebuah restoran yang lain yang akhirnya mencatatkan kejayaan mengejar impian masing-masing. BERNAMA

Wawasan FAMA dalam melahirkan usahawan pertanian


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengenalpasti tujuh aktiviti niaga tani yang diharap dapat melatih siswazah menganggur menjadi usahawan industri pertanian yang berjaya.
Aktiviti berkenaan yang diletakkan di bawah Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS) dilancarkan oleh Pengerusi FAMA, Datuk Badaruddin Amiruldin baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Sahbani Saimin berkata, bagi pembangunan, aktiviti ini melibatkan peserta pasar tani, vendor buah-buahan segar, pembekal hasil ladang segar, pengedar barangan makanan yang telah diproses, pembekal hasil ternakan, penyedia khidmat menulis laporan, menterjemah dan menyunting dan sebagai promoter jualan bagi produk yang berasaskan kepada pertanian.
"PPUS, yang terbuka kepada semua warga Malaysia dari institusi pengajian tempatan dan asing, disedia untuk menawarkan kepada siswazah menganggur peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti niaga tani terpilih dalam usaha mengurangkan pengangguran dan membangunkan kemahiran keusahawanan", kata Sahbani dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
"Menawarkan peluang kepada usahawan pertanian untuk memasar dan mempromosi produk mereka secara langsung kepada pengguna sentiasa merupakan keutamaan FAMA", jelas Sahbani.
"Kami menjalankan kursus serta program untuk sesiapa sahaja yang mahu menceburi niaga tani. Lagipun, kini terdapat 1,270 peniaga tani siswazah yang berniaga di pasarpasar tani seluruh negara. Tetapi kali ini, FAMA mengambil usaha komprehensif yang disasarkan khusus kepada siswazah menganggur", tambah Sahbani.
Pendapatan lumayan Pasar-pasar tani menawarkan persekitaran niaga yang unik serta menarik.
Dikendalikan di kawasan terbuka, ia menawarkan wadah yang mudah bagi pengeluar dan pengguna dan popular di kawasan bandar di mana kuasa membeli lazimnya lebih tinggi.
Terdapat 298 tapak mingguan bagi pasar tani di seluruh negara, dengan 80 lagi pasar tani baru dijangka dibuka pada 2009.
Perniagaan pasar tani mencatatkan pulangan berjumlah RM285.75 juta bagi 12,637 peserta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Mengenai perolehan bulanan setiap usahawan itu, 3,791 mencatatkan pendapatan bulanan antara RM1,500 dan RM3,000 sementara 7,582 lagi termasuk usahawan siswazah berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.
Bagi mereka yang lebih inovatif, menjalankan perniagaan di pasar tani boleh membawa pulangan lumayan seperti yang dibuktikan oleh 1,264 peserta yang berpendapatan lebih daripada RM5,000 sebulan.
"Pertanian merupakan perniagaan, jadi tiada had sejauh mana seseorang itu boleh maju. Kami berharap dengan sikap yang membina serta komitmen baik selain bantuan dan pendedahan kepada pasaran, sebahagian daripada usahawan tani siswazah ini akan menempuh kejayaan dan akhirnya muncul sebagai pengeksport produk berasaskan pertanian", kata Shahbani. Produk, khidmat dan lokasi Di bawah PPUS, FAMA yang menentukan apa, dalam bentuk apa dan di mana produk boleh dijual.
Para peserta pasar tani mempunyai pilihan 21 produk untuk dijual di 55 lokasi terpilih di seluruh negara, sementara vendor buah-buahan segar mempunyai 15 jenis buah-buahan tempatan untuk dipilih dan dijual di 11 lokasi pasaran di Semenanjung.
Mereka yang berminat membekalkan hasil ladang yang segar, pusat-pusat perolehan FAMA di 10 lokasi di beberapa negeri di Semenanjung akan menerima 14 jenis sayur-sayuran segar serta komoditi ladang yang lain, yang telah ditimbang, digred dan dibungkus mengikut spesifikasi.
Para pengedar produk makanan yang telah diproses boleh mengedarkan produk berasaskan pertanian di bawah jenama FAMA Agromas dan Olemas di Kshops, Agrobazaars, pasar tani, pasar malam dan pasar harian.
Pusat-pusat perolehan FAMA itu juga akan menerima daging yang telah digred seperti daging ayam, lembu dan puyuh selain telur dan hasil akuakultur seperti ikan keli, tilapia dan patin dalam kuantiti tertentu setiap bulan.
Siswazah yang tidak berminat untuk berniaga masih berpeluang menyertai PPUS dengan menawarkan diri bagi kerja menulis dan menterjemah pelbagai laporan mengenai pengeluaran dan penggunaan, prestasi pasaran dan indeks harga, termasuk menulis rencana adhoc yang disumber luar oleh FAMA. Selain itu, mereka boleh bertindak sebagai promoter jualan bagi produk asas tani pada pameran perdagangan dan konvensyen yang berlangsung hingga dua minggu dan boleh menerima bayaran RM50 sehari.
Latihan
Latihan merupakan elemen penting dalam pembangunan keusahawanan. Ke arah ini, FAMA akan menjalankan pelbagai kursus induksi pada Disember ini untuk memberi taklimat kepada pemohon mengenai garis panduan dan prosedur program ini.
Ini akan disusuli oleh program latihan yang komprehensif dalam bidang niaga tani yang menjadi piihan mereka.
"Kami akan menampilkan usahawan tani yang berjaya untuk menceritakan pengalaman mereka dan membawa pelatih melawat perusahaan niaga tani yang telah berjaya", jelas Shahbani.
"Kemudian, bagi satu bayaran nominal, FAMA akan membantu mereka mendapatkan segala yang diperlukan, daripada khidmat nasihat percuma hinggalah untuk memulakan perniagaan", kata Shahbani.
"Apa yang kami minta ialah perhatian dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk menjayakan program itu", tambah Shahbani.
FAMA telah melakukan segala yang boleh bagi membantu siswazah yang menganggur dan selebihnya mereka perlu tampil dan merebut peluang ini.
Bagaimanapun, mereka nampaknya tidak begitu berminat. Sehingga hari ini, hanya 21 siswazah telah mengemukakan permohonan mereka untuk menyertai program ini.
"Mungkin kebanyakan daripada siswazah masih memilih pendapatan bulanan yang tetap dan kerja di pejabat", ulas Shahbani.
"Bagaimanapun, FAMA akan melatih mereka yang telah memohon supaya dapat membuka mata rakan-rakan mereka apabila perniagaan mereka berjaya", tambah Shahbani.
Nampaknya masih ramai siswazah masih mahu mengelakkan kerja-kerja yang mengotorkan tangan dengan ramai yang tidak mahu bekerja dalam bidang yang tidak disukai mereka.
Bagaimanapun, sekarang ini ijazah tidak lagi menjanjikan pekerjaan. Para siswazah perlu menerima realiti bahawa peluang pekerjaan bagi mereka tidak lagi terjamin selepas menamatkan penggajian.
Sekarang, mereka perlu keluar mewujudkan peluang pekerjaan mereka sendiri. BERNAMA

Tuesday, December 23, 2008

Malaysia pengeluar utama keju mozzarella?



Pemilik Friendly Farms Norzana Ghazali, 25, (kanan), suaminya Michael Bruschi, 53 (dua dari kanan) dan staf mereka menunjukkan keju mozzarella yang dihasilkan pada hari itu baru-baru ini di Langkawi. foto Bernama
MALAYSIA memiliki permata tersembunyi yang mungkin hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja : kedai kecil di Langkawi yang menghasilkan keju mozzarella buatan tempatan.
Bukan sahaja keju ini dihasilkan menggunakan susu kerbau, ia juga buatan tangan, antara ciri-ciri utama yang menjamin kelazatan dan keaslian mozzarella.
Namun tidak ramai yang tahu kewujudan kedai itu di Friendly Farms kerana sejak dibuka empat bulan lepas, ia hanya menjual daging halal dan organik.
Perniagaan mozzarella hanya bermula kira-kira tiga minggu lepas.
Pemiliknya ialah Norzana Ghazali, ahli perniagaan berusia 25 tahun yang berkahwin dengan Michael Bruschi, ahli perniagaan Itali yang berpengalaman dalam pembuatan keju.
Norzana, atau lebih mesra dengan panggilan Yana, memberitahu ramai yang ragu-ragu semasa dia memberitahu rancangannya untuk memulakan perniagaan membuat mozzarella.
"Ramai yang tidak fikir ia boleh dilaksanakan, sebab jika boleh, sudah pasti ada yang telah membuatnya lama dahulu lagi," katanya.
"Namun, seperti yang anda dapat lihat, ia terlaksana, kami telah berjaya menghasilkan mozzarella buatan tangan dan habis dijual setiap hari, jadi ia tidak mustahil untuk dilakukan," katanya.
Bruschi, 53, yang bersependapat dengan isterinya berkata bukan sahaja mozzarella boleh dihasilkan di Malaysia tetapi malahan dengan kualiti yang lebih baik berbanding dari Itali.
Bagaimana dia boleh menyokong hujahnya ini?
"Cubalah rasa," katanya dengan mudah.
Beliau menjelaskan antara pelanggannya termasuklah chef berpengalaman daripada hotel-hotel terkemuka di pulau peranginan ini seperti Four Seasons dan the Datai, yang selama ini menggunakan mozzarella buatan tangan diimport tetapi kagum dengan mozzarella Friendly Farms selepas merasanya.
"Mereka tak mempercayainya, yang mozzarella sebaik itu boleh dihasilkan daripada susu kerbau kita, dan sejak itu permintaan hampir tidak henti-henti," katanya.
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan antara yang pernah merasai mozzarella segar mereka dan menceritakan tentang kelazatannya dalam blog beliau www.chedet.com.
Selain daripada hotel-hotel, mozzarella Friendly Farms juga menjadi pilihan utama ekspatriat yang tinggal di Langkawi, termasuk mereka yang tinggal di kapal persiaran mewah di Telaga Harbour.
Penulis juga turut berpeluang merasai mozzarella istimewa itu yang sememangnya begitu lazat dan tidak seperti jenis yang ada dalam pasaran.
Bruschi menjelaskan keju yang ada dalam pasaran bukan mozzarella tetapi "fior di latte", yang dibuat daripada susu lembu.
Harganya lebih berpatutan kepada pengguna dan kos untuk membuatnya lebih murah dan banyak digunakan dalam industri makanan, terutamanya restoran pizza.
Berikutan kesukaran mendapatkan susu kerbau, Friendly Farms juga menghasilkan fior di latte, meskipun susu perlu didapatkan dari banyak tempat di pulau ini serta di tanah besar.
"Kita boleh menghasilkan keju yang bermutu dan lazat, menghasilkan apa juga yang negara lain keluarkan, dan malahan melakukannya dengan lebih baik lagi," kata Bruschi.
"Ia boleh menjadi industri bernilai berbilion-bilion ringgit bagi Malaysia, ia telahpun menjadi industri bernilai berbilion-bilion dolar di dunia. Tidak mustahil untuk merealisasikannya, anda hanya perlu mahu melakukannya," katanya. BERNAMA

Monday, December 22, 2008

Amaran hujan peringkat kuning

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Hujan sederhana kadangkala lebat dijangka turun di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula esok sehingga khamis serta beberapa bahagian di Sarawak bermula Rabu hingga Jumaat ini.
Jabatan Meteorologi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberitahu, keadaan berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai.
Di Kelantan daerah yang terbabit ialah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih.
Di Terengganu pula ia meliputi Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang meliputi Kuantan, Pekan serta Rompin dan Johor di daerah Mersing, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi.
Di Sarawak pula, melibatkan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Betong, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu.
Jabatan itu juga mengeluarkan amaran bahawa angin timur laut pada kelajuan 50 kilometer (km) hingga 60 km sejam dengan ombak mencecah ketinggian 4.5 meter akan berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan, Sabah Barat dan Kudat serta dijangka berterusan sehingga Rabu ini.

4,749 bakal diberhenti

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Trend pemberhentian pekerja diramal serius tahun depan dengan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah mengambil kira kelembapan ekonomi dunia.
Jumlah pemberhentian pekerja itu adalah angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.
Menurutnya, mereka yang terlibat dengan program latihan semula kendalian Kementerian Sumber Manusia itu nanti akan turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan dijalankan.
“Selain itu, para pekerja yang diberhentikan juga harus kembali memasuki pasaran buruh kerana memang terdapat kekosongan kerja dalam negara kita sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri mengakui wujudnya penurunan permintaan terhadap produk elektronik negara berikutan krisis ekonomi global yang dihadapi kini.
“Memang ada penurunan permintaan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) khususnya dan ini menyebabkan sesetengah syarikat memikirkan untuk mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos,” jelasnya.
Terdahulu di Petaling Jaya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pada Januari ini sebanyak 35 majikan akan memberhentikan 3,111 pekerja diikuti Februari, tiga majikan memberhentikan 1,523 pekerja manakala Mac, 64 majikan bakal memberhentikan 115 pekerja.
Beliau menegaskan, di bawah seksyen 63 Akta Kerja 1955, majikan yang ingin memberhentikan pekerja, memberhentikan secara sukarela atau sementara dan mengurangkan gaji perlu melaporkan kepada JTK sekurang-kurangnya 30 hari sebelum berbuat demikian.
“JTK akan sentiasa memantau dan meng-
ambil tindakan tegas sekiranya ada majikan yang gagal melaporkan sebarang pemberhentian pekerja,” katanya.
Subramaniam menambah, di samping mengemukakan laporan pemberhentian, majikan juga hendaklah membayar faedah pemberhentian kerja seperti ditetapkan dalam Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan dan Hentikerja Sementara) 1980 di bawah Akta Kerja 1955.
“Pekerja yang berkhidmat kurang daripada dua tahun perlu dibayar 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
“Mereka yang telah berkhidmat selama dua tahun tetapi kurang dari lima tahun pula perlu dibayar 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan,” katanya.
Pekerja yang telah berkhidmat selama lima tahun atau lebih pula kata beliau, hendaklah dibayar 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Dagangan diterus tanpa gangguan ketara

TINDAKAN pantas Bursa Malaysia Bhd mengenal pasti punca dan mengatasi masalah teknikal yang berlaku di pasaran saham tempatan semalam, membolehkan aktiviti dagangan diteruskan pada hari sama tanpa berlaku gangguan ketara, kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Yusli Mohamed Yusoff. Aktiviti urus niaga di bursa tempatan semalam mengalami gangguan seketika disebabkan oleh masalah teknikal pada permulaan sesi dagangan petang. Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dan fasa awal pembukaan dagangan sesi kedua bermula jam 2.50 petang.
“Kami berupaya mengenal pasti punca masalah teknikal itu dan mengatasinya segera, justeru membolehkan fasa dagangan pembukaan sesi petang dilaksanakan pada jam 2.50 petang. “Menjadi keutamaan kami untuk kekal memantau sistem urus niaga secara teliti dan memastikan sebarang gangguan dagangan yang berlaku adalah minimum,” kata Yusli dalam kenyataannya semalam. Katanya, masalah yang berlaku semalam berpunca daripada modul permohonan bagi fasa prapembukaan urus niaga.

Aeon Credit untung bersih RM39.54 juta

AEON Credit Services (M) Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM39.54 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 20 November 2008, meningkat 58.4 peratus daripada RM22.19 juta yang dicatatkannya bagi tempoh sama tahun lalu. Syarikat itu meraih pendapatan RM136.03 juta dalam tempoh itu, meningkat 23.4 peratus daripada RM110.26 juta. Dalam tempoh suku ketiga berakhir 20 November 2008, Aeon Credit meraih keuntungan bersih RM13.64 juta, melonjak 45.9 peratus daripada RM9.35 juta dalam suku sama tahun lalu.
Pendapatannya dalam tempoh itu ialah RM48.89 juta, meningkat 23.6 peratus daripada RM39.54 juta. Pengarah Urusan Aeon Credit, Naruhito Kuroda, berkata prestasi kewangan memberangsangkan itu disumbangkan pertumbuhan stabil di sebalik persekitaran ekonomi sukar. “Pengguna lebih memilih dalam corak perbelanjaan mereka di bawah keadaan ekonomi semasa. Bagaimanapun, akan ada peluang pertumbuhan, terutama dalam pasaran penyelesaian pembiayaan bayaran mudah bukan mewah,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Ekovest kemuka tender projek bernilai RM5 bilion

EKOVEST Bhd sudah mengemukakan tender bagi projek bernilai antara RM3 bilion dan RM5 bilion di negara ini, kata Naib Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Lim Kang Hoo. Beliau berkata, kebanyakan tender ialah bagi projek berkaitan kerajaan. Ekovest kini mempunyai kontrak dalam tangan bernilai RM600 juta termasuk projek pembinaan fasa baru Universiti Malaysia Sabah dan dua kontrak dengan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia.
Lim berkata, projek yang sedang berjalan itu dijangka menyediakan pekerjaan kepada kumpulan itu selama tiga tahun. Mengenai projek di seberang laut, katanya, syarikat itu sudah berbincang dengan rakan usaha sama berpotensi bagi pembangunan hartanah di Vietnam dan Indonesia. “Kami mencari tempat yang hampir dengan usaha seumpama itu. Kami fikir ia adalah masa tepat untuk mengkajinya, terutama pada harga sedang menurun,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Rakyat dilindungi kesan buruk ekonomi global

KERAJAAN sentiasa memantau dengan teliti perkembangan ekonomi global dan akan melaksanakan pakej sesuai untuk memastikan ekonomi negara terus mencatatkan pertumbuhan positif. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tumpuan kerajaan adalah untuk melindungi rakyat daripada kesan buruk kelembapan ekonomi global yang berlaku ketika ini. “Semua bergantung kepada keadaan ekonomi global. Kita memantau dengan teliti (perkembangannya) setiap hari.
“Keprihatinan kerajaan adalah untuk melindungi rakyat sebaik mungkin dan untuk memastikan ada pertumbuhan dalam ekonomi sebenar. Kita mencuba untuk mencapai pertumbuhan ekonomi 3.5 peratus tahun depan,” katanya ketika diminta mengulas laporan mengatakan Malaysia merancang memperkenalkan pakej ekonomi strategik tahun depan. Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri perjumpaan dan dialog dengan ulama dan umara di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. Najib yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa ketika ini tiada tanda menunjukkan Malaysia akan berdepan dengan kemelesetan ekonomi
.

Sunday, December 21, 2008

AirAsia tawar tiket kompetitif

PERMINTAAN penerbangan jarak dekat yang mantap dan penurunan ketara harga minyak mentah global dijangka memberi kelebihan kepada AirAsia Bhd yang menumpukan kepada model perjalanan sebegitu, di samping menawarkan harga tiket kompetitif. Sejak tercetus kesan krisis subprima pertengahan tahun lalu, permintaan penerbangan jarak dekat meningkat lebih tinggi berbanding perjalanan jarak jauh. “Pada mula krisis, permintaan jarak dekat meningkat kukuh khususnya bagi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, berbanding permintaan jarak jauh ke Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia,” kata Penganalisis Pengangkutan CIMB Investment Bank Bhd, Raymond Yap menerusi laporan penyelidikannya, baru-baru ini.
“Bagaimanapun, selepas tumbangnya Lehman Brothers pada September lalu, penerbangan perkhidmatan penuh mula mengalami kelembapan trafik bagi kabin utama perjalanan jarak dekat dan penumpang lebih memilih kelas ekonomi,” tambahnya. Katanya, kekukuhan permintaan jarak dekat dan pemilihan kos penerbangan lebih murah memberi kelebihan kepada syarikat penerbangan kos rendah seperti AirAsia. “Dengan model perjalanan kurang daripada empat jam, AirAsia dijangka mampu mempamerkan pendapatan kukuh berbanding syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang terpaksa berdepan penurunan permintaan perjalanan jarak jauh.
“Pada masa sama, penumpang kelas ekonomi penerbangan perkhidmatan penuh sedang beralih menggunakan penerbangan kos rendah ekoran penjimatan yang kini menjadi perhatian utama dikalangan penumpang,” kata Yap. Dengan pesawat baru A320s, AirAsia mampu menawarkan perjalanan Bangkok, Jakarta, Singapura, Hong Kong, Shengzhen, Kuching dan Kota Kinabalu pada harga sekitar 50 peratus lebih rendah berbanding penerbangan perkhidmatan penuh. Pada masa sama, kejadian kerosakan yang kurang, penangguhan perjalanan susulan penggunaan pesawat baru membolehkan kos diuruskan dengan lebih cekap, sekali gus membenarkan syarikat itu membuat tawaran istimewa untuk menarik lebih ramai penumpang. “Walaupun faktor muatan susut kira-kira empat peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, namun ia disebabkan pertumbuhan tinggi kapasiti dari segi jumlah tempat duduk kosong perkilometer (ASK) yang mencecah 30 peratus berbanding tahun lalu.
“Pendapatan perkilometer (RPK) AirAsia pula meningkat pada kadar memuaskan sekitar 25 peratus berbanding tahun lalu, di sebalik penurunan RPK beberapa syarikat penerbangan terkemuka. Justeru, menunjukkan AirAsia memiliki permintaan kukuh susulan statusnya sebagai syarikat penerbangan kos rendah jarak dekat,” jelasnya. Aktiviti pengembangan operasi secara agresif dari segi penerokaan laluan baru dan penambahan kekerapan di laluan sedia ada, membuka peluang kepada AirAsia mewujudkan permintaan baru. Bermula 1 Disember lalu, syarikat itu menambah kekerapan penerbangan KL-Singapura kepada tujuh kali sehari berbanding dua kali sehari sebelum ini. “Kami berpendapat, langkah AirAsia itu akan merebut pasaran bagi laluan KL-Singapura daripada syarikat penerbangan perkhidmatan penuh,” kata Yap. “Pada masa sama, AirAsia X pula melancarkan penerbangan ke Melbourne dan Perth menggunakan pesawat terbarunya, A330-300s dan akan ke United Kingdom pada Mac 2009. Laluan baru ke Thirupalli, India yang diperkenalkan AirAsia baru-baru ini juga dilihat mendapat sambutan susulan mendapat tempahan penuh antara 1 hingga 18 Disember,” katanya. CIMB Invesment mengunjur pendapatan syarikat itu kekal kukuh pada 18.10 sen/RPK pada 2009, namun pendapatan tempat duduk kosong perkilometer (RASK) dijangka susut 2.7 peratus pada tahun depan susulan penurunan jumlah muatan kepada 74 daripada 76 peratus pada tahun ini. Namun, hasil kekal mantap berikutan sumbangan daripada sektor laluan pendapatan tinggi KL-Singapura yang akan mengimbangi penurunan pendapatan bagi sektor laluan lain. “Kami tidak jangka hasil AirAsia terjejas susulan pemansuhan surcaj bahan api,” kata Yap. Selain itu, kos bahan api yang ketara lebih rendah akan memberi impak positif yang dramatik kepada syarikat penerbangan itu pada tahun depan. “Selepas melupuskan kos lindung nilai bahan api sebanyak RM215.3 juta tahun ini, AirAsia tidak lagi menjalankan aktiviti lindung nilai bagi keperluan bahan apinya tahun depan. “Kami yakin syarikat itu kini aktif mencari paras harga sesuai untuk membuat tempahan bahan api bagi tempoh jangka panjang. Mungkin sekitar AS$40 setong (minyak mentah) dan jika berjaya, ia tentunya memberi kesan positif besar kerana ia memberi gambaran lebih jelas,” katanya. CIMB Investment mengunjurkan purata harga bahan api jet bagi 2009 adalah kira-kira AS$80 satu tong dan AS$85 satu tong pada 2010. Harga bahan jet ketika ini berada pada paras sekitar AS$40 satu tong, selepas melonjak ke paras AS$180 satu tong pada Julai lalu. Sementara itu, isu pembiayaan bagi penerimaan 37 lagi pesawat A320 mulai pertengahan tahun depan sehingga awal 2011 juga sudah selesai, apabila syarikat itu mendapat sokongan kewangan daripada European Credit Agencies baru-baru ini. CIMB Investment menaikkan harga sasaran AirAsia daripada 91 sen kepada RM1.80 sesaham.

Peluang kerja banyak dalam perbankan Islam

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Sektor perbankan Islam yang mengalami pertumbuhan pesat menawarkan peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk negara ini berikutan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam.
Ketua Sumber Manusia Standard Chartered Malaysia Bhd. (StanChart), Rahmat Roslan Hashim berkata, menyedari peluang tersebut, bank itu kini menempatkan dirinya di barisan hadapan dalam usaha mengambil dan melatih bakat-bakat sedia ada untuk sayap perbankan Islamnya.
Menurut beliau, pihaknya telah membangunkan Inisiatif Bakat Baru StanChart, iaitu program yang mengenal pasti universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk mendapatkan sumber tenaga yang berpotensi.
Katanya, StanChart juga mengguna pakai pendekatan proaktif dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat-bakat menerusi program pelatih pengurusannya.
''Ini adalah bagi menyokong bilangan tenaga kerja berpengetahuan dan mahir yang terhad dalam industri kewangan dan perbankan pada masa ini serta dijangka berlanjutan ke tahun-tahun mendatang," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Rahmat berkata, StanChart sentiasa mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk diberikan tanggungjawab dan peranan bersesuaian dalam bank.
Misalnya, ujar beliau, di bawah program perantis StanChart, pihaknya sudah melatih 64 orang sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.
Menurutnya lagi, program tersebut memberi latihan selama 12 bulan dan pendedahan semasa bekerja bagi menyediakan pelatihnya dalam bidang-bidang berkaitan.
''Kami meletakkan sasaran untuk mendapatkan 100 orang lulusan program ini untuk mengisi kekosongan dalam perbankan pengguna dan khidmat sokongan," ujarnya.
Rahmat berkata, menerusi program graduan antarabangsa StanChart (IGP) pula, ia akan membangunkan pekerja mahir dan berpengetahuan serta membantu lebih lagi kerjaya mereka dengan bank itu.
Katanya, graduan dari sebarang bidang dan mereka yang memiliki pengalaman kerja selama 24 bulan akan melalui program dua tahun, diikuti lebih banyak peluang kerjaya.
Pada awal tahun ini, kata beliau, StanChart memeterai memorandum persefahaman bagi membangunkan sumber manusia dengan Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
Di bawah perjanjian itu, ujarnya, pihak universiti akan mengenal pasti graduan berpotensi untuk mengikuti program perintis StanChart, sekali gus memastikan jaminan kerjaya kepada para graduan terbabit selain menyediakan tenaga kerja tetap bagi bank tersebut.

Minyak serendah AS$25 setong

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Harga minyak dunia dijangka terus merudum dan diramal boleh mencecah serendah AS$25 (RM86.50) setong pada tahun depan berikutan permintaan yang sangat lemah, terutama di kalangan negara-negara industri dunia.
Kejatuhan permintaan minyak dari negara-negara itu dipercayai pertama kali berlaku selepas tahun 1980an.
Ketua Penyelidik Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew yakin kejatuhan permintaan bagi komoditi itu akan berterusan memandangkan tiada tanda-tanda krisis ekonomi akan pulih.
''Berdasarkan situasi semasa, kedudukan harga minyak sekarang merupakan tindak balas kepada kemelesetan ekonomi global.
''Saya berpendapat harga minyak memang tidak boleh meningkat dalam tempoh singkat memandangkan pasaran menjangkakan OPEC akan terus mengurangkan jumlah pengeluaran sehingga harga minyak kembali stabil,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.
Rabu lalu, OPEC sebulat suara bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyaknya sebanyak 2.2 juta tong sehari atau kira-kira tujuh peratus daripada kuota kartel mulai Januari untuk mengelakkan harga komoditi itu terus susut.
Pengurangan itu dipercayai yang terbesar pernah dilakukan oleh OPEC, yang mengeluarkan 40 peratus keperluan minyak mentah dunia.
Malah, harga minyak mentah bagi penghantaran Januari dan Februari masih kekal rendah di bawah AS$40 (RM138.40) setong.
Harga emas hitam itu pernah mencatatkan rekod tertinggi iaitu AS$147 (RM508.62) setong pada Julai lalu.
OPEC dijadual mengadakan satu lagi perjumpaan pada 19 Januari ini untuk membincangkan pengurangan pengeluaran sekiranya harga minyak terus jatuh.
Mengulas lanjut, Teng Siew berkata, kejatuhan minyak dunia sekarang memang sesuatu yang di luar jangkaan dan sukar untuk meramalkan bila ia akan naik semula.
''Kejatuhan minyak tahun ini memang dianggap 'gila' kerana tidak sesiapa pun yang menyangka ia boleh jatuh ke tahap sekarang. Ini adalah kejatuhan dalam sejarah industri minyak,'' ujarnya.
Beliau tidak menafikan spekulasi hebat terhadap harga komoditi itu merupakan penyumbang terbesar terhadap kejatuhan harga komoditi tersebut.
Bagaimanapun, beliau percaya, harga minyak dijangka meningkat sedikit menjelang akhir tahun depan.
Dalam pada itu, Teng Siew berkata, meskipun harga minyak dunia jatuh namun adalah tidak praktikal sekiranya harga minyak di negara ini terus diturunkan.
''Kejatuhan harga minyak dunia tidak boleh dibandingkan dengan harga minyak di pasaran tempatan,'' ujarnya.
Beliau menyifatkan, harga baru bagi minyak sekarang adalah 'cukup bersesuaian' dan tidak perlu diturunkan lagi walaupun sekiranya harga minyak mentah dunia terus menjunam.
Jelas beliau, tindakan kerap menurunkan harga minyak tidak akan memberi kebaikan kepada pengguna pada masa depan.
''Kita perlu ingat Petronas akan menjadi pengeksport minyak mentah dalam tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan rakyat Malaysia tidak selama-lamanya bergantung pada subsidi.
''Selain itu, kerajaan juga perlu mendidik rakyat agar tidak menggunakan banyak minyak,'' katanya.

Wednesday, December 17, 2008

Pembelian Eurocopter ditangguh

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan menimbang semula keputusan mengenai pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri apabila ekonomi pulih. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, penangguhan pembelian itu bersifat sementara berikutan krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang. “Bila keadaan sudah pulih, kerajaan boleh timbangkan semula untuk teruskan pembelian helikopter jenis itu atau apa-apa keputusan lain yang mungkin dibuat kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Felda dan Fama mengenai projek Taman Kebun Dapur di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak di sini, semalam. Najib diminta mengulas syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam yang meminta kerajaan menimbang semula keputusan menangguhkan pembelian 12 unit Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion itu.