Monday, January 19, 2009

Bahayanya Penyakit Chikungunya

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk.
Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.
Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.


2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?
Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.


3. Adakah ia berjangkit?
Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?
Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau di antara 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara 3 hingga 7 hari.


5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?
•Demam panas mengejut

•Sakit teruk pada sendi•Ruam pada badan
•Sakit kepala
Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.


6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?
Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan.
Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.


7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?
Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.
Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.
Tiada vaksin bagi penyakit ini.


8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?
Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya
•Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
•Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
•Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.


10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?
Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.


11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara Sila rujuk kenyataan akhbar.

12. Tindakan Kementerian Kesihatan
Langkah – langkah kawalan yang telah diambil:
•Pengesanan kes secara aktif
•Melakukan kajian Aedes
Semburan kabus dan ULV
•Aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat
•Aktiviti promosi kesihatan
Kejadian penyakit ini adalah terkawal dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Bilik GerakanBahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E10, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
No. Tel. : 03-8881 0600 / 03-8881 0700


Wednesday, January 7, 2009

MMC tumpu perniagaan teras hadapi krisis ekonomi

MMC Corporation Bhd mengharapkan ketahanannya untuk berkembang dan memberikan nilai kepada pemegang sahamnya, walaupun dengan persekitaran ekonomi yang sukar, kata Ketua Eksekutifnya, Hasni Harun. Katanya, kumpulan akan kekal memberi tumpuan terhadap perniagaan terasnya dalam pengangkutan dan logistik, tenaga dan utiliti, kejuruteraan dan pembinaan, yang kesemuanya menjadi peneraju dalam bidang masing-masing. Selain itu, beliau berkata, perniagaan antarabangsanya melalui pelaburan dalam pelabuhan, projek peleburan aluminium dan tenaga di China dan Arab Saudi akan memastikan aliran pendapatan kukuh apabila loji itu beroperasi.
"Projek Jazan Economic City (JEC) yang dilaksanakan MMC di Arab Saudi berjaya menarik pelaburan bernilai AS$30 bilion, mencapai sasaran dalam masa dua tahun, mendahului tempoh masa 25 tahun yang dijangka ketika pelancarannya pada 2006," katanya kepada Bernama semalam. MMC, bersama-sama kumpulan Saudi Binladin, adalah pemilik tanah dan pemaju utama projek JEC itu. "Profil risiko/ganjaran projek ini memenuhi penanda aras MMC untuk pelaburan sedemikian. Dalam persekitaran kewangan semasa, Arab Saudi berada dalam kedudukan baik berbanding ekonomi lain dari segi mudah tunai dan kami berpendapat projek yang baik dengan asas ekonomi kukuh, akan dapat menarik pembiayaan yang sewajarnya," katanya.
Bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Hasni berkata, unit yang dimiliki 70 peratus itu dapat mengekalkan kedudukannya sebagai pelabuhan ke-17 paling sibuk di dunia dan adalah terminal kontena terbesar negara. Dengan mengendalikan 5.6 juta unit TEU tahun lalu, beliau berkata, kapasiti PTP akan meningkat kepada 9.5 juta TEU menjelang 2010 dengan pembinaan dua dermaga baru. "Jumlah kendalian bagi tahun kewangan 2009 dijangka meningkat berikutan jumlah yang lebih tinggi daripada MISC," katanya. Secara kolektifnya, PTP dan pelabuhan milik penuh Johor Port, mengendalikan 6.6 juta TEU tahun lalu atau 45 peratus daripada jumlah kendalian kontena dalam negara.
Keuntungan sebelum cukai MMC bagi sembilan bulan 30 September 2008, naik 34 peratus kepada RM898 juta daripada RM668 juta dalam tempoh sama 2007 manakala pendapatan meningkat 58 peratus kepada RM6.1 bilion.

Harga MSM lepasi paras RM2,000

EKSPORT sawit diunjur kembali meningkat berikutan peningkatan harga komoditi pesaing.

Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak melepasi paras RM2,000 satu tan semalam untuk mencatatkan paras tertingginya dalam tempoh tiga bulan susulan jangkaan peningkatan eksport yang berpotensi mengurangkan lambakan stok komoditi itu. Pada sesi dagangan pagi semalam, kontrak MSM bagi penghantaran Mac di Bursa Malaysia Derivatif diurusniagakan pada RM2,058 satu tan, naik RM78 satu tan atau empat peratus.
Walaupun paras itu tidak dapat dipertahankan sehingga penutup berikutan kegiatan pengambilan untung apabila ditutup pada paras RM1,902 satu tan, penganalisis yakin prospek bagi harga komoditi itu untuk terus meningkat adalah cerah, terutama dalam jangka pendek berikutan ramalan peningkatan eksport menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Penganalisis Aseambankers Malaysia Bhd, Lee Cheng Hoi, berkata harga MSM kini berada dalam aliran meningkat seiring dengan harga komoditi utama global lain, selepas merekodkan paras terendah RM1,331 satu tan pada Oktober lalu. "Aliran menurun drastik harga sawit sudah berakhir dan sejak Oktober lalu, harganya melantun semula dan dijangka terus meningkat tinggi.
"Sebahagian kenaikan ini didorong pemulihan faktor asas minyak sawit yang semakin kukuh," katanya. Beliau menjelaskan, eksport sawit Malaysia bagi Disember diunjur kembali kepada 1.6 juta tan daripada 1.3 juta tan pada November berikutan pertambahan permintaan dan peningkatan harga komoditi pesaing. "Harga komoditi saingan iaitu minyak soya yang meningkat kerana pertambahan permintaan khususnya oleh China dan masalah ketidaktentuan bekalan dari Afrika Selatan, menyebabkan harga MSM turut melonjak. "Pengukuhan semula harga minyak mentah yang melonjak kepada AS$48.81 setong semalam (kelmarin), setelah merekodkan paras terendah AS$30.52 setong (pada 19 Disember), turut memberi kesan positif kepada MSM," katanya.
Naib Pengerusi Persatuan Remisier Bumiputra (Pribumi), Zainal Arifin Osman, berkata peningkatan permintaan jangka pendek MSM itu berpotensi meredakan masalah lambakan simpanan komoditi itu. "Pada November lalu, stok MSM meningkat di luar jangkaan kepada 2.27 juta tan berbanding unjuran sebanyak 2.18 juta tan, sekali gus menjadikannya sebagai yang tertinggi sejak 1983. "Peningkatan harga komoditi pesaing seperti soya memberikan ruang untuk pengguna beralih kepada sawit dan pertambahan permintaan menjelang Tahun Baru Cina, antara lain boleh mengurangkan masalah lambakan stok MSM, justeru, memberi petanda positif kepada prospek harganya," katanya.

Tuesday, January 6, 2009

Harga minyak kekal sehingga hujung Januari

PUTRAJAYA 6 Jan. - Harga petrol dan diesel akan kekal sehingga hujung bulan ini ekoran tiada perubahan mendadak pada harga minyak mentah di pasaran dunia pada Disember lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, harga minyak di pasaran dunia yang menyaksikan sedikit peningkatan tidak memberi kesan kepada kerajaan.
Kata beliau, kerajaan akan terus menyemak harga bahan api setiap dua minggu bagi menentukan harga yang bersesuaian dengan pasaran dunia dan tidak membebankan pengguna.
''Jika dilihat harga purata bahan api dunia pada akhir Disember lalu adalah AS$41 setong dan semasa pertengahan Disember harganya naik AS$43 tapi kita tetap turunkan harga.
''Penurunan harga sepatutnya lima sen tapi keputusan kerajaan kita turunkan 10 sen, jadi tidak nampak ia boleh turun pada bulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan kakitangan KPDNHEP sempena tahun baru di sini hari ini.
Berkuat kuasa 15 Disember lalu, harga petrol RON97 turun kepada RM1.80 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing RM1.70 seliter.
Penurunan harga itu merupakan kali ketujuh dilaksanakan kerajaan sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.
Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.
Mengenai keputusan untuk menentukan penanda aras bagi harga bahan api, beliau memberitahu, satu mesyuarat di antara pihaknya dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berlangsung hari ini.
Menurut beliau, kementeriannya mencadangkan supaya penanda aras itu ditetapkan pada kadar di antara RM1.80 dan RM1.90 seliter.

Ketuanan pendidikan Melayu

BUKANLAH sesuatu yang menghairankan apabila permasalahan berkaitan pendidikan di kalangan orang Melayu masih menjadi isu yang kedengaran saban tahun.
Isu-isu seperti pengangguran siswazah Melayu, kualiti modal insan yang mendukacitakan, kegagalan menguasai bahasa Inggeris serta tidak menepati kehendak pasaran kerja seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelesaian.
Kegagalan orang Melayu menonjolkan diri dalam pendidikan adalah satu kerugian yang besar kepada pembangunan bangsa, apabila terpaksa melepaskan beberapa 'kuasa' kepada bangsa lain kerana ketidakbijakan orang Melayu itu sendiri.
Justeru adalah sesuatu yang mustahak untuk isu dan cabaran dalam pendidikan orang Melayu itu diperhalusi supaya peranan orang Melayu sebagai tuan di Tanah Melayu ini dikuasai dalam erti kata yang sebenarnya.
Perkara itu juga menjadi intipati utama perbincangan dalam Seminar Nasional Ketuanan Melayu yang dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI), di MITC, Ayer Keroh, Melaka yang berlangsung 6 hingga 7 Januari.
Seminar dua hari bertemakan Konsep dan Cabaran Dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat itu dihadiri oleh ahli akademik dan profesional Melayu dalam pelbagai bidang dari universiti serta organisasi seluruh negara.
Pada ketika ini, ketuanan Melayu dalam pendidikan berkembang kerana adanya dasar dan bantuan daripada kerajaan yang memberikan keutamaan kepada orang Melayu dalam pelbagai cabang pendidikan.
Namun mampukah bantuan daripada kerajaan itu mampu bertahan untuk Melayu terus menjadi ketua dan pemimpin pada masa akan datang?
Seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor, Prof. Datuk Dr. Ab. Rahim Selamat dalam kertas kerjanya yang bertajuk 'Mengukuhkan Ketuanan Melayu Dalam Sektor Pendidikan Negara', sistem pendidikan negara memerlukan strategi yang mampan untuk mengekalkan ketuanan dan kepimpinan Melayu.
Menurut beliau, usaha itu boleh dicapai menerusi penilaian semula perancangan, pengelolaan, kepimpinan dan pengawalan dalam konteks ketuanan pendidikan supaya fungsi pengurusan pendidikan itu menjadi selaras atau sistematik.
Dalam memperkatakan tentang kualiti pendidikan juga, adalah wajar untuk membandingkan penglibatan orang Melayu dan kaum lain dalam sektor pendidikan swasta termasuk yang bermula di peringkat pra sekolah lagi.
Pendidikan sekolah swasta tidak begitu mendapat perhatian orang Melayu barangkali kerana kedudukan yang selesa dalam sektor pendidikan awam. Sedangkan ketuanan orang Melayu dalam pendidikan juga boleh dinilai daripada sejauh mana kejayaan kita berdikari dalam membangunkan institusi pendidikan secara individu atau syarikat.

Harga minyak kembali tinggi

LONDON 6 Jan. (AFP) - Harga minyak mentah dunia kembali meningkat menghampiri paras AS$50 (RM175) setong apabila pasaran tenaga dikejutkan dengan gangguan bekalan gas di Eropah yang diburukkan lagi dengan cuaca sejuk.
Kontrak utama New York minyak berkualiti tinggi Light Sweet untuk penghantaran Februari, naik AS$0.57 (RM1.99) kepada AS$49.38 (RM172.83) setong.
Manakala minyak mentah Brent North Sea bagi penghantaran Februari melonjak AS$1.08 (RM3.78) kepada AS$50.70 (RM177.45) setong.
Rusia telah memotong bekalan yang disalurkan ke Eropah melalui Ukraine sebagai tindak balas kepada dakwaan bahawa Ukraine mencuri bekalan gasnya. Ukraine, menyangkal tuduhan itu dan mendakwa Rusia sengaja mahu mencetuskan krisis.
Harga minyak mentah juga meningkat secara mendadak pada Isnin lalu, ekoran konflik Israel-Palestin dan pengeluar utama minyak mentah Iran berkata Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan mengadakan mesyuarat tergempar bulan depan.

Jualan kenderaan diramal susut 8.1 peratus

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Firma penyelidikan dan perunding antarabangsa Frost & Sullivan mengunjurkan jualan kenderaan di negara ini menyusut 8.1 peratus pada tahun ini kepada 501,500 buah berikutan krisis semasa ekonomi dan berkurangnya pelancaran model terbaru pada tahun ini.
Rakan Niaga dan Ketua Praktis Kenderaan dan Pengangkutan bagi Asia Pasifik, Kavan Mukhtyar berkata, unjuran penurunan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun ini, adalah berikutan jualan secara besar-besaran yang diadakan pada tahun lalu.
''Frost Sullivan meramalkan jualan kenderaan pada 2008, meningkat 12 peratus lebih tinggi kepada 545,440 buah, meningkat 4.7 peratus daripada jangkaan awal berjumlah 521,200 buah berikutan pelancaran model baru dan momentum jualan berterusan pada 2007.
''Walaupun TIV pada tahun ini diramalkan lebih rendah berbanding tahun lalu, tetapi ia dianggap lebih berpatutan berbanding tahun 2006 dan 2007 yang masing-masing mempunyai TIV sebanyak 490,000 dan 487,000 buah,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat media mengenai unjuran sektor automotif Malaysia untuk 2009 di sini hari ini.
Tambah Mukhtyar, TIV bagi bulan Disember tahun lalu adalah diramal berada pada sekitar 37,000 hingga 39,000 buah.
Sementara itu, Mukhtyar berkata, kenderaan penumpang bakal menerima tekanan daripada keadaan ekonomi semasa apabila pelanggan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pinjaman baru dan menunda rancangan untuk bertukar kenderaan baru.
''Bagi kenderaan penumpang ia dijangka akan menyusut pada tahun ini 6.8 peratus, manakala kenderaan komersial menyaksikan kejatuhan terbesar sebanyak 20.9 peratus kepada 39,000 buah berbanding 49,325 buah tahun lalu, disebabkan oleh tindakan syarikat-syarikat membekukan pembelian baru,'' jelasnya.
Mukhtyar menjelaskan, walaupun unjuran yang dibuat oleh Frost & Sullivan rendah tetapi asas atau dasaran ekonomi Malaysia masih kukuh.
Meskipun aktiviti berkaitan eksport dan pembuatan akan terjejas, tetapi pencapaian ekonomi negara yang disumbangkan oleh sektor perkhidmatan dijangka masih dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Mengulas mengenai kurangnya pelancaran model terbaru kenderaan tahun ini, Mukhtyar berkata, langkah itu merupakan strategi yang diambil oleh syarikat pengeluar kenderaan.
Selain itu, kata Mukhtyar, sektor jualan kenderaan dijangka mendapat sokongan daripada penurunan kadar faedah, permintaan berterusan untuk bertukar kenderaan, kadar inflasi yang rendah, pertumbuhan ekonomi dengan bantuan pakej rangsangan serta pelancaran segmen baru kenderaan pelbagai guna (MPV).
''Permintaan terhadap MPV dijangka meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada 57,000 buah ekoran pelancaran model terbaru oleh Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).
''Kadar pinjaman kenderaan yang diunjurkan berada pada paras 2.8 hingga 2.9 peratus, akan menarik minat pinjaman dan menyokong jualan kenderaan keseluruhannya pada tahun ini,'' katanya.
Bagi tempoh jangka panjang, Frost & Sullivan meramalkan pertumbuhan jualan kenderaan di Malaysia sangat positif berikutan bilangan siswazah yang bakal memasuki pasaran kerja semakin meningkat.

Sime Darby batal ambil alih IJN

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Sime Darby Bhd. (Sime Darby), sebuah konglomerat tempatan yang sebelum ini berhasrat mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sehingga menimbulkan bantahan ramai, hari ini memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan itu.
Syarikat milik kerajaan itu dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya telah mencapai satu persefahaman selepas mengambil kira sentimen orang ramai dan juga maklum balas yang diterimanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penangguhan terhadap rancangan Sime Darby untuk memulakan perundingan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan bagi membeli 51 peratus kepentingan dalam IJN.
IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya menghormati kehendak rakyat negara ini supaya IJN kekal dalam bentuk yang sedia ada.
Beliau berkata, ''Kami percaya pelaburan berterusan dalam penjagaan kardiovaskular penting kerana ia adalah punca utama pesakit dimasukkan ke hospital dan menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia.
''Perkongsian dengan IJN sekiranya terlaksana akan menguntungkan kami, IJN, pemegang kepentingan dan juga orang ramai, dan bersandarkan hakikat itu kami telah mengemukakan cadangan pembelian ekuiti itu kepada kerajaan.
''Tetapi, kami sebagai sebuah syarikat yang mana pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat negara ini, menghormati hasrat mereka supaya (status) IJN dikekalkan seperti mana adanya,'' kata beliau lagi.
Sime Darby menjelaskan, pada Ogos lalu, pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan tentang hasratnya memiliki kepentingan IJN kerana melihat kepada faedah meluaskan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare, sebuah cabang operasi penjagaan kesihatan Sime Darby dan IJN.
Jelasnya, semasa memajukan cadangan itu, Sime Darby menyedari peranan IJN dalam menyediakan rawatan perubatan yang cemerlang pada harga berpatutan, terutama kepada golongan pesara, berpendapatan rendah dan miskin.
Katanya, cadangan pemilikan IJN adalah memastikan rakyat tidak dipinggirkan daripada menerima rawatan kesihatan berkelas dunia dan juga menjamin mereka yang berkenaan termasuk juga golongan pendapatan rendah dan sederhana terus menikmati perkhidmatan seperti mana sebelumnya tanpa ada perubahan.
Berdasarkan cadangan dan jaminan itu, kerajaan memberikan 'lampu hijau' kepada Sime Darby untuk melaksanakan kajian berhemat ke atas IJN dan menyediakan pelan perniagaan bersepadu yang perlu diperakui lebih dahulu oleh Kementerian Kewangan sebelum Sime Darby dibenarkan menguasai kepentingan berkenaan.
Ahmad Zubir kekal optimis dengan prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus mencari peluang untuk mengembangkan sektor berkenaan, sekali gus menjadikan Sime Darby sebagai penyedia penjagaan kesihatan standard di rantau ini.