Wednesday, January 7, 2009

Harga MSM lepasi paras RM2,000

EKSPORT sawit diunjur kembali meningkat berikutan peningkatan harga komoditi pesaing.

Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak melepasi paras RM2,000 satu tan semalam untuk mencatatkan paras tertingginya dalam tempoh tiga bulan susulan jangkaan peningkatan eksport yang berpotensi mengurangkan lambakan stok komoditi itu. Pada sesi dagangan pagi semalam, kontrak MSM bagi penghantaran Mac di Bursa Malaysia Derivatif diurusniagakan pada RM2,058 satu tan, naik RM78 satu tan atau empat peratus.
Walaupun paras itu tidak dapat dipertahankan sehingga penutup berikutan kegiatan pengambilan untung apabila ditutup pada paras RM1,902 satu tan, penganalisis yakin prospek bagi harga komoditi itu untuk terus meningkat adalah cerah, terutama dalam jangka pendek berikutan ramalan peningkatan eksport menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Penganalisis Aseambankers Malaysia Bhd, Lee Cheng Hoi, berkata harga MSM kini berada dalam aliran meningkat seiring dengan harga komoditi utama global lain, selepas merekodkan paras terendah RM1,331 satu tan pada Oktober lalu. "Aliran menurun drastik harga sawit sudah berakhir dan sejak Oktober lalu, harganya melantun semula dan dijangka terus meningkat tinggi.
"Sebahagian kenaikan ini didorong pemulihan faktor asas minyak sawit yang semakin kukuh," katanya. Beliau menjelaskan, eksport sawit Malaysia bagi Disember diunjur kembali kepada 1.6 juta tan daripada 1.3 juta tan pada November berikutan pertambahan permintaan dan peningkatan harga komoditi pesaing. "Harga komoditi saingan iaitu minyak soya yang meningkat kerana pertambahan permintaan khususnya oleh China dan masalah ketidaktentuan bekalan dari Afrika Selatan, menyebabkan harga MSM turut melonjak. "Pengukuhan semula harga minyak mentah yang melonjak kepada AS$48.81 setong semalam (kelmarin), setelah merekodkan paras terendah AS$30.52 setong (pada 19 Disember), turut memberi kesan positif kepada MSM," katanya.
Naib Pengerusi Persatuan Remisier Bumiputra (Pribumi), Zainal Arifin Osman, berkata peningkatan permintaan jangka pendek MSM itu berpotensi meredakan masalah lambakan simpanan komoditi itu. "Pada November lalu, stok MSM meningkat di luar jangkaan kepada 2.27 juta tan berbanding unjuran sebanyak 2.18 juta tan, sekali gus menjadikannya sebagai yang tertinggi sejak 1983. "Peningkatan harga komoditi pesaing seperti soya memberikan ruang untuk pengguna beralih kepada sawit dan pertambahan permintaan menjelang Tahun Baru Cina, antara lain boleh mengurangkan masalah lambakan stok MSM, justeru, memberi petanda positif kepada prospek harganya," katanya.

No comments:

Post a Comment