Tuesday, July 26, 2011

Galak pelajar minati matematik, sains

Pelajar menyiapkan salah satu tugasan secara berkumpulan pada Fun Math Camp 2011 di SMK Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
TEKNIK belajar sambil bermain atau edutainment kini semakin meluas penggunaannya dalam meningkatkan minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran.
Justeru, Hezmedia Interactive Sdn. Bhd. (Hezmedia Interactive) dengan kerjasama Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM) menggunakan pendekatan tersebut untuk Fun Math Camp 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengarah Urusan Hezmedia Interactive, Mohd. Hezri Amir Abd. Latiff berkata, bengkel yang dijalankan selama satu hari itu merupakan satu pembaharuan daripada teknik pembelajaran konvensional kepada konsep edutainment.
"Bengkel ini diadakan bertujuan membangkitkan minat dan kesedaran tentang kepentingan subjek Matematik di kalangan pelajar seterusnya menjurus kepada pencapaian akademik yang lebih baik untuk jangka masa panjang," jelasnya.
Menurut beliau, pihaknya cuba menyumbang dengan memberi impak di dalam sistem pendidikan melalui pembelajaran secara interaktif selaras dengan arus kepesatan zaman teknologi dan inovasi masa kini.
Pada program itu, 227 pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan diberi peluang merasai pengalaman menjalani aktiviti bengkel yang padat dengan permainan interaktif menggunakan komputer dan aktiviti menarik yang dikendalikan oleh beberapa fasilitator berpengalaman.
Mohd. Hezri memberitahu, pelajar digalakkan untuk menyelesaikan masalah Matematik dan Sains yang biasa dilalui dalam aktiviti seharian dan cuba mempraktikkan konsep-konsep yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan masalah secara berkumpulan.
"Bengkel ini bukan sahaja menggalakkan peserta menggunakan pemikiran kritis tetapi juga meningkatkan kemahiran interpersonal dan sifat berdaya saing di kalangan para peserta," terangnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Seri Bintang Selatan, Roaini Jaafar berkata, bengkel Fun Math Camp ini dapat memupuk kaedah pendidikan awal secara inovasi kepada generasi muda.
"Mata pelajaran Sains dan Matematik penting bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan sesebuah negara maju.
"Peranan ilmu sains dan matematik dalam memajukan tamadun manusia menjadikannya suatu bidang yang dinamik dan dianggap sebagai jentera atau penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Monday, April 27, 2009

SPR kecewa Pakatan tolak kaedah baru urus pilihan raya

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat yang menolak syor pendekatan baru mengendali pilihan raya dengan terurus dan tenang - menguatkuasakan larangan berkempen pada hari pengundian dan mengehadkan kehadiran penyokong parti politik.
"Parti-parti politik dari Pakatan tidak mahu dan menolak usaha SPR (yang mahu menggunakan pendekatan baru)... mereka lebih suka kepada keadaan tegang, panas dan tidak menghormati undang-undang... dia (mereka) suka itu," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.
SPR mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di Putrajaya Khamis lalu secara berasingan bagi mendapatkan kerjasma dan input bagi melaksanakan kaedah baru ketika hari penamaan calon dan semasa hari mengundi.
Ia termasuklah menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Malah ia termasuklah melarang mendiring barung iaitu khemah panas parti-parti politik.
Selain itu, SPR mahu parti-parti politik memberi kerjasama mengehadkan kehadiran penyokong ketika hari penamaan calon.
Tumpuan perbincangan minggu lalu berkisar pada kedua-dua perkara berkenaan.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali yang hadir mesyuarat tersebut memberitahu bahawa pihaknya
membantah dan menolak pendekatan sedemikian.
Sehubungan itu, Pakatan Rakyat berkeyakinan cadangan bagi mengehadkan kehadiran jumlah penyokong parti politik pada hari penamaan calon, hari mengundi mahupun semasa pengumuman keputusan tidak akan dilaksanakan.
BN pula berkata pihaknya menyerahkan kepada SPR melaksanakan usaha-usaha itu.
SPR bercadang
menguatkuasakan pendekatan baru mengehadkan penyokong pada penamaan calon dan larangan berkempen semasa hari mengundi ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
"Saya kecewa sebab kita... mesej (yang disampaikan oleh pembangkang berdasarkan perbincangan tempoh hari) ialah jangan laksanakan, mereka tidak mahu kita menguatkuasakan undang-undang (yang sedia ada).
"Mereka mempersendakan undang-undang sedia ada... adakah ini sikap yang betul," kata Wan Ahmad sambil menambah, "kita bukan hendak berbahas, cuma hendak mendengar pandangan mereka" dan mendapatkan kerjasama semua parti bagi melaksanakan peruntukan akta pilihan raya yang sedia ada.
"Tapi kalau begitulah pendirian mereka, saya kecewa kerana tidak boleh melaksanakan undang-undang yang mereka buat di Parlimen," katanya.
Kata Wan Ahmad lagi, SPR sebenarnya berharap usaha yang diambil akan dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak.
"Orang takut hendak keluar mengundi kerana ketegangan dan suasana tidak tenteram... kita hendak mendapatkan kerjasama sebelum keadaan menjadi lebih serius," jelas beliau.
Suruhanjaya itu, kata Wan Ahmad, akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk meneliti semua pandangan yang telah dikemukakan bagi menentukan sama ada akan melaksanakannya ketika pilihan raya kecil Penanti.
SPR bermesyuarat pagi ini bagi mengesahkan kekosongan kerusi itu, sekali gus mengumumkan tarikh pilihan raya kecil.

PAS sedia 'korban' kerusi Penanti buat PKR

PETALING JAYA: PAS akan memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada pilihan raya kecil yang bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Mustafa Ali, parti itu menghormati hak Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meletakkan calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
"Kita (PAS) tidak bercadang untuk bertanding di Penanti walaupun itu kubu kuat PAS. Kita hormati hak mereka (PKR).
"Setahu saya setakat ini PAS juga tidak ada perbicangan mengenainya (bertanding di Penanti),"katanya kepada mStar Online hari ini.
Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Penanti.
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali mengizinkan sekiranya ada cadangan untuk meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari PKR pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.
Fairus sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan bahawa mereka tidak ada asas untuk mendakwa beliau.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Mustafa berkata, PAS akan tetap memberi sokongan kepada PKR sebagai satu pasukan.
"Macam juga kawan, kita akan beri sokongan jika kawan kita bertanding. Ini mereka (PKR) dalam Pakatan sudah pasti kita sokong,"katanya.
Ditanya sama ada PAS yakin PKR mampu mempertahankan kerusi DUN Penanti, Mustafa berkata: "Sudah pasti, kami yakin PKR mampu menang. Jika dilihat kepada 'track record' pilihan raya sebelum ini kita menang dengan majoriti yang besar. Saya lihat kita tidak ada masalah yang besar kali ini."
Tambahnya, PAS akan menggerakkan jentera parti itu sebaik sahaja tarikh pilihan raya kecil DUN Penanti diumumkan oleh SPR.
"Kekuatan jentera masih belum diputuskan tapi kita akan membantu PKR. Jika di DUN kekuatannya berbeza dengan kawasan Parlimen," katanya.

DUN Penanti: Pilihan raya kecil 31 Mei, penamaan calon 23 Mei

PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti - pilihan raya kecil keenam sejak Mac 2008, akan diadakan 31 Mei ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memutuskan untuk mengehadkan kehadiran penyokong parti-parti yang bertanding ketika hari penamaan calon.
Tempoh berkempen adalah selama lapan hari.
Penamaan calon pula ditetapkan berlangsung 23 Mei, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof di sini hari ini.
Beliau mengesahkan kerusi DUN Penanti kosong berkuat kuasa 17 April lalu bermula hari penerimaan surat makluman kekosongan daripada Speaker Pulau Pinang.
Dengan keputusan itu, ia merupakan pilihan raya kecil yang keenam sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya akan menetapkan jumlah penyokong yang boleh dibawa setiap parti yang bertanding pada hari penamaan calon selepas pihaknya melawat pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.
MAKLUMAT SEPINTAS LALU:
Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi: Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam
Jumlah pusat mengundi: 9 buah dengan 32 saluran
Jumlah petugas: 242 orang
Jumlah pemilih berdaftar: 15,384 orang (15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos)
Pecahan pengundi mengikut kaum: Melayu (72.68%), Cina (24.22%), India (2.39%) dan lain-lain (0.71%)
"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.
"Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya.
Pada 16 April lepas, penyandang kerusi itu Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Keputusan itu ditegaskan oleh beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Jumaat lalu selepas dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pondok panas: Larangan SPR baik elak ketegangan, kata BN

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menyambut baik larangan yang diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar parti-parti politik tidak mengadakan pondok panas selain meraih undi pada hari pengundian.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, tindakan yang diputuskan SPR itu merupakan pendekatan yang baik untuk kepentingan semua pihak.
"Saya fikir itu satu langkah yang baik," kata beliau di sini hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, larangan berkenaan boleh mengelakkan wujudnya ketegangan di kalangan penyokong parti-parti potik yang bertanding.
"Kita lihat bahawa bila ada pondok panas dengan bilangan penyokong yang terlalu ramai boleh menimbulkan ketegangan atau kekacauan antara penyokong dan juga boleh mengganggu pengundi untuk mengundi.
"Jadi kalau tak ada pondok panas, saya fikir ia akan menimbulkan suasana yang lebih tenteram dan mengelakkan kerisauan pengundi untuk mengundi nanti," katanya.
SPR hari ini mngumumkan hari penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah pada 23 Mei dan jika ada pertandingan, hari pengundian telah ditetapkan pada 31 Mei depan.

Saturday, March 14, 2009

Mara beli pakaian Angkasawan Negara

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memutuskan untuk membeli pakaian angkasawan bernilai US$50,000 yang pernah digunakan oleh angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustaphar untuk menjadi tatapan rakyat Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata beliau telah mengarahkan Mara untuk membeli pakaian itu sebagai satu simbol kejayaan institusi itu yang berjaya melahirkan seorang angkasawan Melayu pertama.
"Dr Sheikh Muszaphar ada berbincang dengan saya dan beliau berharap ada orang beli pakaian ini. Kerajaan tidak beli tetapi ada satu syarikat korporat tempatan yang berminat untuk membeli, jadi saya terkilan lalu saya minta Mara untuk membelinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2009 dan sambutan Hari Mara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau berkata Dr Sheikh Muszaphar merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Muar, Johor merupakan idola kepada anak-anak muda khususnya kepada hampir 90,000 pelajar di semua institusi Mara.
Noh berkata beliau akan meminta Dr Sheikh Muszaphar menguruskan pembelian pakaian itu yang kini berada di Rusia dan akan mempamerkan pakaian itu sama ada di Muzium Mara atau di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute Of Aviation Technology (UNIKL MIAT).
Noh berkata Mara juga akan menawarkan jawatan kepada Angkasawan Negara itu bagi berkhidmat kepada para pelajar di institusi pengajian Mara sebagai membalas jasa Mara yang melahirkan banyak pelajar cemerlang termasuk diri beliau sendiri.
"Saya dah berbincang dengan Dr Sheikh Muszaphar dan beliau bersetuju serta berminat untuk menyertai Mara dan berkhidmat di UNIKL MIAT sama ada sebagai pensyarah, penasihat atau pakar motivasi bebas," katanya.
Noh berkata beliau juga akan menemui dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dan pihak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia berkenaan kontrak angkasawan itu yang masih terikat dengan dua pihak itu.
"Sama ada dipinjamkan (kepada Mara) atau dipindahkan asalkan kita dapat guna kepakaran beliau. Kita akan bagi tempat dan ruang kepada Dr Sheikh Muszaphar kerana beliau anak didik Mara," katanya.
Beliau berkata Mara juga akan menyediakan skim gaji khas yang setaraf dengan angkasawan dan bukannya mengikut skim kerajaan bagi membayar khidmat Angkasawan Negara itu.
Sementara itu, Noh berkata Mara akan memperkenalkan mata pelajaran tulisan Jawi dan ia diwajibkan kepada pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua di semua MRSM bagi memperkasakan tulisan itu, tahun depan.
"Orang Melayu dengan tulisan Jawi tidak dapat dipisahkan. Mata pelajaran elektif ini wajib bagi pelajar Melayu tetapi bagi pelajar bukan Melayu ia terpulang kepada mereka," katanya.
Beliau berkata satu lagi mata pelajaran elektif iaitu Sejarah Mara dan Kontrak Sosial juga akan diperkenalkan di semua institusi pengajian Mara bermula tahun depan. BERNAMA

Pilihan raya: BN umum calon tiga kawasan serentak

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan calon bagi ketiga-tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan serentak pada 7 April ini.
Bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, BN akan diwakili oleh bekas Ketua Penerangan Umno Bahagiannya, Ismail Saffian.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S.Ganesan dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Bagi DUN Batang Ai, Barisan Nasional akan meletakkan Malcolm Mussen anak Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak sebagai calon.
Bagaimanapun, pemilihan Malcolm sebagai calon telah diperakui oleh kepimpinan Barisan Nasional Sarawak.
Di Taiping, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Ismail sebagai calon BN Bukit Gantang pada majlis pemimpin bersama rakyat yang berlangsung di Taman Kota Jaya, Simpang, dekat sini hari ini.
Ismail, 49, adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara dan berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.
Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata calon yang dipilih adalah anak tempatan seperti yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.
Pemilihan calon dibuat daripada perbincangan dengan pimpinan bahagian dan negeri serta tinjauan yang mengambil kira segala aspek, katanya pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan.
"Kita pilih calon yang terbaik untuk BN... saya yakin beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik dan dapat bekerja sama penuh dengan semua," katanya.
Beliau berkata antara syarat penting juga ialah calon diterima oleh peringkat bahagian bagi mengelak berlaku pergeseran, termasuk prasyarat bahawa Ismail tidak akan bertanding dalam pemilihan bahagian Umno akan datang.
Pada pemilihan bahagian tahun lepas, Ismail tewas kepada Adun Trong Datuk Rosli Husin dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lepas.
Pada pilihan raya umum lepas, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M.Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.
Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lainlain pengundi 0.4 peratus.
Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang dan pada pilihan raya umum lepas BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.
Di Sungai Petani, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S.Ganesan dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Pemilihan Ganesan, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, diumumkan Timbalan Perdana Menteri hari ini, beberapa jam selepas beliau mengumumkan Ismail Saffian sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.
Ganesan, 49, tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.
Beliau yang dilahirkan di ladang Sungai Division di Sungai Petani merupakan lulusan Universiti Malaya dalam jurusan ekonomi sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di London.
Beliau yang kini merupakan seorang peguam mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan R.Vatsala, 42, yang juga merupakan seorang peguam. Ganesan menyertai MIC sejak 1983 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pergerakan itu.
"Saya berterima kasih kerana pucuk pimpinan memberi keyakinan dan saya akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumumannya sebagai calon BN.
Sementara itu Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dalam satu kenyataan berkata Ganesan dipilih setelah tinjauan MIC mendapati beliau adalah calon kegemaran di kawasan Bukit Selambau.
"Saya sudah berada di Bukit Selambau dua tiga minggu lepas dan saya dapat maklum balas orang ramai tentang calon, saya yakin dia diterima oleh semua kaum," katanya.
Kerusi Bukit Selambau kosong selepas peletakan jawatan oleh penyandangnya V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal bulan lepas.
Di Kuching, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai telah dikenal pasti dan akan diumumkan minggu depan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Kami sebulat suara telah memperakui calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi kerusi itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini hari ini.
Taib, yang juga pengerusi BN negeri, enggan mendedahkan nama calon itu, menyatakan ia akan diserahkan kepada perdana menteri untuk kelulusan dan dijangka diumumkan pada Isnin.
Sementara itu, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing mengesahkan PRS telah mencalonkan Malcom Mussen Lamoh, 49, jurutera di Jabatan Pertanian, sebagai calon BN bagi Batang Ai.
Bapa kepada tiga cahaya mata, Mussen merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pembuatan Sistem Kejuruteraan dari Universiti Warwick dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Pertanian) dari Univerisiti Putra Malaysia (UPM).
Kerusi Batang Ai kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu selepas berada dalam keadaan koma akibat serangan angin ahmar selama sembilan bulan.
Dalam pilihan raya negeri pada Mei 2006, Unting menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.
Pada pilihan raya negeri Sarawak 20 Mei, 2006, BN memenangi 62 daripada 71 kerusi.DAP menang enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua dan calon Bebas di satu kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi ketiga-tiga kawasan pada 29 Mac dan hari pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.